Home » » 901 - The Judgement Day!!

901 - The Judgement Day!!

Written By RR on Tuesday, January 3, 2012 | 10:25 AM


9 Januari Penentu Nasib Anwar

KUALA LUMPUR - Nasib Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim diketahui pada 9 Januari depan kerana Mahkamah Tinggi di sini, akan membuat keputusan akhir terhadap kes tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Peguam Anwar, Karpal Singh dan Ketua Pendakwaan, Peguam Cara Negara II, Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden, masing-masing selesai berhujah di akhir kes pembelaan, semalam.

Hakim, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah lantas menetapkan tarikh berkenaan yang akan menentukan sama ada Anwar bebas atau disabitkan kesalahan, seterusnya dipenjarakan.

Jika sabit kesalahan, hukuman mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang dipertuduhkan ke atas Anwar itu boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.Pada 7 Ogos 2008, Anwar, 64, mengaku tidak bersalah meliwat Mohd Saiful, 26, di Kondominium Desa Damansara, Bukit Damansara di sini, antara 3.10 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Pada 16 Mei tahun ini, mahkamah memerintahkan beliau membela diri selepas memutuskan Mohd Saiful adalah seorang saksi boleh dipercayai dan berkredibiliti. Kes melibatkan Mohd Saiful ini ialah dakwaan yang kedua dihadapi beliau selepas dituduh meliwat pemandu Azizan Abu Bakar pada 1998.

Anwar disabit kesalahan dan dihukum penjara sembilan tahun oleh Mahkamah Tinggi, tetapi selepas empat tahun, Mahkamah Persekutuan menolak sabitan itu dan mengetepikan hukuman penjara terhadapnya.

========================

UPSI Tetap Dengar Kes Adam Adli 9 Januari

SHAH ALAM - Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) kekal dengan pendirian mahu mendengar kes tatatertib terhadap penuntutnya Adam Adli Abdul Halim, yang menurunkan banting berupa bendera Datuk Seri Najib Razak bulan lalu, 9 Januari ini.

Walaupun didesak pelbagai pihak supaya Adam Adli tidak diambil tindakan tatatertib oleh Upsi, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Datuk Dr Junaidi Abu Bakar berkata, ia akan tetap diadakan jam 3 petang, 9 Januari.

Menurutnya, meskipun perhimpunan di pekarangan Upsi awal pagi semalam bertujuan mendesak supaya Adam Adli dibebaskan, pihaknya tidak berganjak dengan keputusan tindakan tatatertib terhadapnya.

“Adam Adli sedia maklum bahawa pendengaran hukuman akan diadakan pada 9 Januari ini atas tindakannya menurunkan bendera, namun penyertaannya pada demonstrasi di hadapan perkarangan Upsi juga akan dikenakan tindakan tatatertib sekali lagi oleh pihak Upsi ,” katanya.

Bagaimanapun katanya, notis tindakan tatatertib kepada Adam Adli akibat penyertaannya pada demonstrasi itu akan diserahkan dalam tempoh 10 hingga 14 hari lagi.

Junaidi berkata, selain Adam Adli, seorang lagi mahasiswi Upsi, yang turut ditahan polis pada malam kejadian itu, Siti Nurul Piteriah Abdul Halim, pelajar tahun ketiga juga tidak terlepas dengan tindakan tatatertib.

Dalam pada itu katanya, Upsi kini sedang menyiasat pembabitan beberapa mahasiswanya pada demonstrasi menuntut pembebasan Adam Adli dan penghapusan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) semalam.

Junaidi berkata, pihaknya sedang meneliti rakaman video dalam kejadian terbabit bagi memastikan identiti mahasiswa yang terlibat.

“Kami dimaklumkan terdapat beberapa mahasiswa Upsi yang terlibat. Jika terdapat bukti sahih pembabitan itu, mereka juga tidak akan terlepas dengan tindakan tatatertib oleh pihak Upsi,” katanya.

www.sinarharian.com.my

Share this article :
 
xxxx xxxx | xxxx | xxxx
Copyright © 2011. reformasin! -satira politikus- - All Rights Reserved
Template Created by xxxx Published by xxxx
Proudly powered by Blogger